Menurut kenyataan media MAIPs di sini hari ini, sumbangan itu untuk membantu badan berkenaan menjalankan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan untuk masyarakat Islam tempatan di Melbourne.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs  menyampaikan sumbangan itu kepada wakil masyarakat Islam Melbourne, Munir Abdella selepas solat Jumaat di Drill Hall, Multicultural Hub Melbourne, Jumaat lepas.

Berangkat sama pada majlis itu anakanda baginda, Syed Areeb Putra Jamalullail.

Konsul Muda di Pejabat Konsulat Malaysia Melbourne, Muhamad Nadzri Abdullah Sani turut menyaksi penyerahan sumbangan itu.

Pada majlis berasingan baginda turut menyampaikan sumbangan zakat MAIPs juga sebanyak RM4,000 kepada pengurusan Dewan Malaysia Melbourne di K4 High Street Windsor.

Penyerahan itu disaksikan Konsul Jeneral Malaysia, Westmoreland Palon dan pegawai  Education Malaysia Australia di Melbourne, Siti Hasmah Abd Talib.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan golongan ilmuan agama supaya ikhlas dan bertanggungjawab dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan polemik membabitkan umat Islam mengikut kehendak al-Quran dan Sunnah.

"Yang eloknya kita bersikap terbuka dalam perbincangan dan merujuk kepada dua sumber tersebut yang merupakan kunci tepat dan benar selain menyelesaikan perbezaan pendapat dengan ilmu yang benar dan sahih," titah baginda.-BERNAMA