Harga seekor lembu hibrid sado baka kacukan tempatan dan luar negara boleh mencecah RM20,000 malahan yang baru mencecah usia sebulan boleh dijual sehingga RM1,000.

Mohamad Taufik, 29, berasal dari Kertih, Kemaman berkata, beliau mula membela lembu hibrid sado pada tahun 2006 dengan mewarisi penternakan lembu milik ayahnya.

“Pada tahun 2006 saya hanya bermula dari dua ekor induk lembu. Sekarang kita mempunyai keseluruhan 32 ekor lembu hibrid sado dengan 17 ekor daripadanya merupakan induk lembu hibrid sado.

“Saya memiliki lembu hibrid sado jenis Limousine, Charolais dan sekarang yang terbaharu Belgium Blue,” kata Mohamad Taufik yang ditemui pada pameran Road To MAHA 2018 edisi timur di Pantai Kuala Kertih hari ini.

Jelas Mohamad Taufik usia matang lembu hibrid sado tidak mengambil tempoh yang lama. Pada usia dua tahun lembu hibrid sado sudah matang dan boleh mencapai berat 600 kilogram ke atas.

Malahan penternakan lembu hibrid sado juga tidak memerlukan kawasan luas.

“Kita di Malaysia mempunyai kekangan kawasan untuk menternak secara intergrasi. Kita pelihara secara feedlot cuma memerlukan tempat tumbuhan makanan hijau.

“Kita bagi makan dua kali sehari. Pagi kita beri palet dan pada sebelah petang kita bagi makan rumput. Kita bagi makan 10 peratus dari berat badan dia. Kos makanan minimum RM3 sehari untuk seekor lembu hibrid sado,” kata Mohamad Taufik.

Mohamad Taufik berkata, orang muda tidak seharusnya berasa malu untuk menjadi penternak kerana ia memberikan hasil yang amat lumayan. - UTUSAN ONLINE