Pengetua maahad berkenaan, Muhammad Sufian Ahmad Shu­kri berkata, sekiranya pembinaan bangunan tambahan itu berjaya, ia mampu menampung jumlah pelajar tahfiz yang lebih ramai iaitu antara 200 hingga 300 orang.

Menurutnya, ketika ini madrasah tersebut yang mula ber­operasi sejak November 2012 mempunyai kira-kira 70 pelajar tahfiz lelaki termasuk enam anak yatim dan ditadbir oleh 10 orang guru termasuk beliau.

“Ketika ini kami mempunyai sebuah bangunan dan surau serta merancang membina bangunan dua tingkat bagi menempatkan lebih ramai pelajar termasuk pelajar perempuan.

“Dana sedia ada masih tidak mencukupi dan memerlukan sumbangan orang ramai kerana kos anggaran pembinaan ba­ngunan baharu itu adalah kira-kira RM1.5 juta,” katanya selepas menerima kunjungan 70 ahli kelab motosikal berkuasa tinggi ‘Dragon Bikers’ yang bernaung di bawah Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) dalam program Hari Keluarga bersama pelajar tahfiz di madrasah berkenaan, di sini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu pertama kali dianjurkan kelab motosikal yang ditubuhkan di Johor Bahru, Johor bertujuan meng­erat­kan silaturahim sesama ahli selain berkongsi kegembiraan dengan pelajar di madrasah ber­kenaan dan turut dihadiri Pre­siden SAM, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Menurut Muhammad Sufian, sewaktu memulakan operasi madrasah berkenaan, pihaknya menyediakan modal sebanyak RM40,000 dan mampu me­nyiapkan bangunan sedia ada dalam tempoh setahun yang bernilai RM800,000 hasil sumbangan dan kutipan amal tertutup antara ahli keluarga pelajar serta penduduk.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, program CSR yang dilaksanakan kelab motosikal ini bagi memberi kesedaran kepada ahli tentang pentingnya permuafakatan sesama ahli dan pada masa yang sama menunjukkan kepada orang ramai bahawa penunggang motosikal berkuasa tinggi juga mempunyai matlamat membantu sesama insan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi pembinaan bangunan baharu madrasah tahfiz ini boleh menghubungi talian 019-650 5159 atau menerusi akaun Maybank bernombor 155050327146 atas nama Muhammad Sufian.