Begitu khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran di hadapan gurunya, al-Ghazali Muhammad, anak kecil ini merupakan pelajar termuda di Maahad Tahfiz al-Ansar, Kampung Tambulig, Basilan, Filipina.

Baru berusia enam tahun, tetapi semangat yang ditunjukkan oleh Saif untuk menimba ilmu agama, dan menjadi hafiz pada usia muda tidak harus dipandang ringan.

“Tiada paksaan daripada mana-mana pihak termasuk ibu bapanya untuk dia belajar di institusi tersebut,” ujar Pengetua madrasah itu, Habri Husin, 53.

Tambahnya, disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan, anak sulung daripada tiga beradik itu, pihaknya bersetuju untuk menerima Saif walaupun hakikatnya madrasah tersebut hanya menerima pelajar seawal usia tujuh tahun.

“Lagipun, ibu bapanya meyakinkan kami bahawa anak mereka begitu berminat untuk mendalami ilmu agama dan tidak salah rasanya Saif diberikan peluang.

“Alhamdulillah, walaupun dia tidak tinggal di asrama dan berulang alik setiap hari dari rumah, namun dia tidak terkecuali menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan,” ujarnya.

Begitupun, tutur Habri, kesemua 15 pelajar madrasah tersebut belajar dalam kedaifan dan serba kekurangan malah mereka berada dalam ketakutan kerana sering diancam tentera Filipina.

Menyifatkan senario tersebut bukan satu perkara baharu bagi kesemua penduduk di kepulauan tersebut, Habri bagaimanapun berharap agar satu hari nanti madrasah tersebut dapat dibaik pulih dan menjadi satu tempat pembelajaran yang sempurna.

Bercerita lebih lanjut mengenai pusat tahfiz itu, katanya, hari ini memiliki tiga bangunan utama iaitu kelas berkeluasan 25 kaki persegi, dapur dan asrama yang dindingnya dibuat daripada buluh.

Dikendalikan oleh enam tenaga pengajar, bagaimanapun kesemuanya mengajar tanpa sebarang bayaran kerana ketiadaan dana.

Bantuan kewangan
 

“Madrasah ini telah berusia enam tahun dan tahun lalu, disebabkan ketiadaan duit untuk membayar gaji guru-guru ia ditutup hampir setahun.

“Hari ini madrasah ini kembali beroperasi dan pendapatan guru akan diberikan bergantung kepada duit yang dikumpul oleh penduduk kampung.

“Kami sedaya upaya cuba untuk memberi elaun kepada kesemua guru-guru di sini anggaran sebanyak RM150 hingga RM200 sekiranya berkemampuan tetapi kebanyakannya akan mengajar secara percuma,” tuturnya.

Berharap madrasah tersebut dapat dibaik pulih dan dinaik taraf satu hari nanti, menurut Habri, sekiranya menjadi kenyataan, pihaknya mampu menempatkan seramai 70 pelajar pada satu-satu masa.

Untuk itu, dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Ez Qurban Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan akikah dan qurban di luar negara telah melancarkan tabung Pembangunan Tahfiz Basilan.

Menurut Pengurusnya, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin, 32, sebelum ini pihaknya pernah membantu pusat tahfiz berkenaan namun hanya dalam skala kecil.

Ujarnya, kini pihaknya ingin lebih serius untuk memberikan pendidikan yang terbaik dan peluang kepada anak-anak di Kampung Tambulig untuk belajar seperti kanak-kanak lain.

“Alhamdulillah kutipan untuk tabung Pembangunan Tahfiz Basilan ini telah mencecah RM10,000.

“Setakat ini sumbangan yang diperoleh akan disalurkan terus kepada Maahad Tahfiz al-Ansar ini untuk tujuan pembayaran gaji tenaga pengajar selain untuk keperluan pelajar-pelajar terutama makanan.

“Insya-Allah sumbangan untuk tabung ini akan dibuka sepanjang masa dan semua kutipan juga akan diberikan secara berperingkat mengikut keperluan,” katanya.