Terbaharu, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tampil menaja 135,450 naskhah Tutor merangkumi 88,650 naskhah untuk pelajar yang akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta 46,800 untuk murid Tahun 6 yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Negeri ini adalah antara yang menerima tajaan tersebut dan akan di­edarkan di empat sekolah menengah merangkumi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muda, Penaga; SMK Dato Onn, Butterworth; SMK Seri Tasek, Nibong Tebal dan SMK Al-Manshoor, Air Hitam.

Timbalan Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang, Mohd. Said Ismail berkata, setiap sekolah terpilih akan menerima tajaan sebanyak 45 naskhah Tutor untuk membantu pelajar yang akan menduduki pe­periksaan PT3 dan SPM tahun ini.

Katanya, naskhah itu diyakini mampu membantu pelajar membuat persediaan tambahan bersama pembelajaran formal yang diperoleh daripada guru di sekolah masing-masing.

“Kita cukup yakin penggunaan sisipan ini membolehkan pelajar menambah ilmu pengetahuan kerana merangkumi subjek teras seperti yang terdapat dalam kurikulum sekolah.

“Selain itu, tajaan ini juga secara tidak langsung dapat menanam minat membaca dalam kalangan pelajar,” katanya ketika melancarkan majlis penajaan Tutor di SMK Seri Muda, Penaga di sini hari ini.

Acara yang berlangsung di dewan sekolah itu turut dihadiri Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Wilayah Utara, Ajani Basri dan Pengetua SMK Seri Muda, Mohd. Nor Yusoff.