Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, polis menerima laporan mengenai kehilangan Abdul Samat Ismail, 56, daripada penganjur pada pukul 8 malam semalam.

Katanya, usaha mencari lelaki terbabit yang dipercayai tersasar dari laluan perlumbaan segera dijalankan dengan menggerakkan seramai 18 pegawai dan anggota.

"Penganjur telah mencari Abdul Samat di laluan tersebut namun gagal menjumpainya sebelum mereka membuat laporan polis.

"Usaha mencari dan menyelamat pada hari pertama (semalam) sehingga pukul 1 pagi menemui jalan buntu dan pihak polis tidak mengesan apa-apa tanda melibatkan mangsa di sepanjang laluan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap penganjur perlumbaan berkata, kehilangan Abdul Samat disedari ahli pasukannya pada pukul 6 petang selepas dia tidak muncul di garisan penamat.

Menurutnya, kali terakhir lelaki itu dilihat pada pukul 1.45 tengah hari ketika melewati 'water station 4' iaitu tempat berhenti terakhir untuk pelumba berhenti  di laluan tersebut bersama seorang lagi rakannya.

Bagaimanapun katanya, lelaki tidak muncul di garisan penamat sehinggalah ketua pasukannya memaklumkan kepada pihak penganjur mengenai kejadian tersebut.

"Rakan mangsa meneruskan perjalanan bagi menamatkan perlumbaan namun lelaki berkenaan dikatakan mahu berehat sebentar di water station berkenaan.

"Perlumbaan sejauh 160 kilometer itu bermula di RTC Gopeng pada pukul 7 pagi dan sepatutnya semua peserta tiba di garisan penamat selewat-lewatnya pada pukul 3 petang sebelum majlis penutup bermula," ujarnya.

Orang ramai yang melihat atau menjumpai mangsa, diminta melaporkannya kepada Pegawai Trafik IPD Batu Gajah, Inspektor Mohd. Razi Awang ditalian 011-1293 2264 atau menyalurkan maklumat tersebut kepada balai polis berhampiran. - UTUSAN ONLINE