Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya telah mengenal pasti tahap kerosakan rumah yang dialami keluarga terlibat sebelum mengagihkan sumbangan.

“Terdapat empat kategori penerima bantuan hari ini, dua keluarga masing-masing menerima RM10,000 kerana rumah mereka ranap sama sekali dan perlu dibina baharu.

“Kebanyakan peralatan di rumah tersebut tidak boleh digunakan jadi saya bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada dua keluarga tersebut. Selepas ini, kita akan cuba mendapatkan bantuan lain untuk membina rumah baharu,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, setiap keluarga juga menerima sebuah kit makanan permulaan bencana daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain kit penjagaan diri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta tikar.

Menurut Jamil Khir, sebanyak 14 keluarga pula masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000 manakala 11 keluarga lagi RM2,000 dan 18 keluarga (RM1,000).

“Bagi mangsa kategori B yang rumahnya terjejas teruk tapi barang-barangnya masih boleh digunakan mendapat RM5,000.

“Rumah yang tidak terjejas teruk akan mendapat RM2,000 dan RM1,000 berdasarkan penilaian yang kita telah buat semalam,” ujarnya.

Tambah beliau, Pejabat Agama Islam Daerah Yan juga telah mengarahkan 34 buah masjid di daerah itu untuk me­ngutip sumbangan daripada orang ramai ketika solat Jumaat sebelum disalurkan kepada mangsa terlibat.