Wanita OKU yang bakal me­nyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 1 Februari ini tiba tepat pukul 9 pagi di lobi Menara 1, KLCC bersama ibu bapanya dan adik lelakinya.

Kedatangan mereka disambut Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus lalu dijemput bersarapan bersama di pejabatnya di tingkat 40, Menara 1, KLCC.

Mohd. Ibrahimnuddin berkata, tajaan Kak Long ke bandar raya ini oleh PDB adalah sebahagian tanggungjawab sosial syarikatnya dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Kita hanya merealisasikan impian Kak Long sejak sekian lama untuk melihat KLCC secara dekat dan berharap tajaan ini mampu memberi keseronokan, selain mo­tivasi kepada dirinya untuk terus berjaya,” katanya di sini hari ini.

Yang turut mengiringi rombo­ngan Kak Long ke KLCC ialah Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Beri­ta, Unit Media Baharu, Borhan Abu Samah.

Kak Long kemudian diiringi petugas khas PDB menghabiskan masa kira-kira tiga jam melawat beberapa lokasi di menara se­tinggi 88 tingkat itu termasuk ke Jejantas Udara yang berada di tingkat 42 dan Dek Pemerhatian di tingkat 88 yang boleh menyaksikan persekitaran Kuala Lumpur dari tempat tertinggi di negara ini.

Dalam lawatan penuh bersejarah itu, Kak Long juga dibawa melawat Aquaria KLCC iaitu sebuah taman akuarium yang dihuni lebih 250 spesies hidupan laut dan lebih 5,000 hidupan tanah yang berasal dari Malaysia dan serata dunia.

Sementara itu, Kak Long berkata, dia seolah-olah tidak percaya keluarganya turut dapat bermalam di hotel mewah dan mengunjungi tempat yang selama ini diidamkan.

“Sebelum ini Kak Long hanya melihat KLCC di televisyen sahaja tetapi hari ini impian itu tercapai dan menjejaki sendiri, malah inilah hadiah yang paling bermakna,” ujarnya yang terlalu gembira selepas impiannya menjadi realiti.

Kak Long mula dikenali selepas video bertajuk Dengan Lidah, Kak Long Harap Dapat Bantu Bisnes Ibu mula tular di media sosial selepas disiarkan menerusi Utusan Online pada 15 Januari lalu.

Video tersebut ditonton lebih 934,000 orang dengan jumlah perkongsian 9,300 sejak disiarkan.