Ramli Isnin, 63, yang membawa adiknya, Abu Bakar, 50, berpindah pada pukul 1 pagi selepas rumah mereka yang terletak kira-kira 800 meter dari pusat pemindahan tersebut dinaiki air sedalam satu meter menerima ‘kejutan’ apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluangkan masa melawat adiknya yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Felda Maokil.

“Kunjungan itu merupakan sesuatu yang amat istimewa bagi kami berdua sekali gus membuktikan Tunku Ismail mengambil berat tentang masalah dan berjiwa rakyat,” katanya semasa menerima kunjungan Tunku Ismail, di sini baru-baru ini.

Selain menjaga adiknya yang terlantar sejak kemalangan tersebut, dia dan isteri, Rosaya Hisham, 60, turut menjaga anak tunggal adiknya, Shakilla, 29, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) selepas ibunya meninggal dunia akibat barah hati hampir tiga tahun lalu.

Sebagai abang, dia menawarkan diri untuk menjaga mereka yang memerlukan bantuan dan

keputusan tersebut turut disokong oleh isteri dan anak-anaknya.

“Paras air di rumah saya juga semakin surut ketika ini dan saya akan meminta bantuan rakan-rakan untuk membawa adik pulang selepas mencuci kediaman kami dalam masa terdekat.

“Saya tidak pernah memba­yangkan Tunku Mahkota Johor akan mengunjungi kami dan turut bertanya khabar kepada adik saya,” katanya.