Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, majlis tersebut diadakan bagi mendekatkan warga kerjanya dengan masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya ma­hu meneruskan tradisi meraikan golongan istimewa yang akan diteruskan pada masa akan datang.

“Hari ini, kami ada pegawai-pegawai yang melayan semua te­tamu dan berusaha memberikan layanan terbaik,” katanya sewaktu berucap dalam majlis tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; timbalannya, Datuk Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. Ganesh Arumugam; Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dan Pengarah Urusan Segi Group, Azhar Baharin.

Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri turut mendapat kerjasama Yayasan Kumpulan Utusan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

Penganjurannya merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat Yayasan Kumpulan Utusan dalam bidang komuniti.

Daripada 210 golongan istimewa yang diraikan, 120 daripadanya merupakan anak yatim, 40 orang kurang upaya (OKU), 16 warga emas dan 34 penerima bantuan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Subang Jaya serta 40 pegawai pengiring.

Yayasan Kumpulan Utusan turut menyumbangkan kerusi roda kepada tiga penerima manakala lima lagi menerima kad OKU baharu Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, beberapa organisasi turut menghulurkan tajaan antaranya pusat pungutan zakat, Segi Seri Group, Great Creation, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Q Bistro.