Tanggapan seperti kemasukan warga Semenanjung ke sana dikhuatiri merampas hak rakyat di Sabah dan Sarawak masih wujud membuktikan perpaduan antara dua tanah besar itu masih longgar.

Justeru, kecurigaan sedemikian menjadikan jurang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bukan sahaja dipisahkan dengan Laut Cina Selatan malah perasaan negatif warga antara dua kawasan.

Penegasan sedemikian disebut sendiri oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia Sabtu, beliau menekankan kempen perpaduan perlu diperhebatkan supaya hubungan rakyat antara dua kawasan tiada rasa curiga.

“Terdapat beberapa komponen perlu diteliti semula supaya semangat ‘kekitaan’ sebagai rakyat Malaysia dikuatkan dan rasa curiga dapat dihapuskan.

“Sebagai contoh, dasar kemasukan warga Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, mereka memang ada undang-undang negeri yang mengawal kemasukan pengunjung dari Semenanjung.

“Kemudian, perbezaan harga barangan. Kita sedia maklum harga berbeza atas dasar kos penghantaran dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak. Ini perlu diteliti semula,” katanya.

Selain itu ujar Rais lagi, sistem pengangkutan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak perlu dikaji semula daripada sudut kos.

“Kerajaan wajar mencari penyelesaian bagi masalah tambang yang mahal untuk pergerakan dalam negara khususnya antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung.

“Selain itu, untuk wujudkan perpaduan dan hapuskan rasa curiga adalah aspirasi tempatan mesti dipenuhi dan masyarakat Borneo mesti berasa mereka sangat penting dalam aspirasi nasional.

“Saya syorkan kepada kerajaan supaya wujudkan jawatankuasa antara persekutuan dan Sabah Sarawak dan Perkara 20 disemak semula supaya tiada suara sumbang dilaungkan lagi,” nasihatnya.