Ahli kelab tersebut yang terdiri daripada lapan wartawan Utusan Malaysia memulakan tugas membantu penyediaan makanan dan melayan pengunjung yang hadir bermula pukul 11 pagi sehingga 3 petang.

Wakil KTN50-Utusan, Muhamad Amirul Afiq Mastor, 32, berkata, tugasan tersebut secara tidak langsung memberi penga­laman baharu kepada ahli me­laksanakan tugas sukarelawan serta peluang mendekati lapisan masyarakat pelbagai peringkat.

Di samping itu katanya, ia juga merupakan langkah awal kelab tersebut ke arah mencapai matlamat pembentukan negara dan masyarakat yang mapan menje­lang tahun 2050 serta mempu­nyai sifat penyayang.

“Ia merupakan usaha yang harus dilakukan secara berterusan dengan penglibatan badan kebajikan atau organisasi lain pada masa akan datang. Ini merupakan satu pengalaman berharga. Kami juga berjumpa dengan pelbagai golongan. Ada yang kurang upaya dan golongan tua. Mereka gembira dan benar-benar menghargainya.

“Kami turut berpeluang menge­tahui bagaimana kakitangan di sini menyediakan makanan. Walaupun percuma, mereka benar-benar ikhlas mela­yan dan memberi makanan kepada pengunjung. Malah, rasanya juga lebih enak berbanding di sesetengah restoran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, beliau turut mengalu-alukan setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pelajar yang ingin menjalankan tugas sukarelawan di kedai tersebut.

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah menerima bantuan berbentuk bahan mentah se­perti beras dan ikan daripada NGO dan rakan korporat bagi memastikan kedai tersebut dapat terus beroperasi.

“Saya yakin rakyat Malaysia memang pemurah. Jika individu atau NGO yang ingin membantu kami sentiasa mengalu-alukan sama ada tugasan memasak atau menyediakan makanan.

“Yang penting matlamat untuk bersedekah dan membantu golongan sasaran tercapai. Kami sendiri tidak terima dan menggunakan wang daripada mana-mana pihak untuk memberi makanan secara percuma,” ujarnya.