Pengurus Besar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTMB, Justine Jude berkata, program julung kali dianjurkan dengan kerjasama syarikat Brahim’s Sat diadakan di dalam tren ETS bermula 30 Mac lalu hingga 30 April ini.

Katanya, kempen itu disasarkan kepada penumpang ETS dengan memperkenalkan jualan produk berupa biskut pada harga serendah RM1 satu pek.

“Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pertubuhan terlibat mempromosikan produk-produk mereka.

“Istimewanya, produk tersebut adalah hasil buatan sendiri orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Kelainan Upaya Pembelajaran (GOLD) Daerah Petaling. Hasil jualan itu akan disumbangkan kepada pertubuhan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Jualan Amal Kindness Cookies dan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Swafoto De­ngan Kapten EJ di Kuala Lumpur Sentral di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Brahim Sat’s, Ainul Hasnizam Abu Hassan dan Pengerusi GOLD, Mohd. Ghazali Mohd. Isa.

Terdahulu. seramai lapan ahli pertubuhan berkenaan bersama 20 kakitangan KTMB dan Brahim’s Sats dibawa menaiki tren ETS dari stesen KL Sentral ke stesen Tanjung Malim, Perak bagi menjual produk mereka kepada penumpang sempena kempen tersebut.

Sementara itu, seorang penumpang ETS, Zainal Ariffin Ahmad, 52, berkata, program itu membantu memperkasakan kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Ini adalah salah satu aktiviti untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar apatah lagi mempromosikan produk hasil kerja tangan mereka sendiri. Ini adalah usaha yang sangat bermanfaat,” katanya.