Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Sunaibari Mohd. Khalil berkata, mereka telah berlepas dengan dua penerbangan pada 26 dan 28 November lalu.

Beliau memberitahu, pihaknya mengambil tanggungjawab tersebut selepas wang yang mereka bayar bagi tujuan umrah dipercayai diseleweng oleh seorang pengurus cawangan syarikat itu di Kuantan.

“Kita telah menanggung kos mereka yang berjumlah RM380,000 dan ini selaras dengan dasar dan komitmen syarikat yang mengutamakan pelanggan. Kita ingin masyarakat tahu bahawa syarikat ini tidak terlibat dalam penipuan itu.

“Individu terbabit ditahan polis selepas kita menyedari kegiatannya dan khidmatnya juga telah ditamatkan pada 27 November lalu. Kita memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah KRS Travel Sdn. Bhd., Mohammad Yusoff Khalili Mohammad Ssunaibari dan pengurus syarikat itu, Mohamed Rosli Mohamed Sain.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang lelaki berusia 47 tahun dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan menyelewengkan wang pakej umrah bernilai RM40,380.

KRS Travel Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak 18 tahun lalu mempunyai sembilan cawangan dan lebih 60 wakil dengan menawarkan pakej umrah dan pelancongan. - UTUSAN ONLINE