Koperal Mohd Nor yang bertugas di Cawangan Pancaragam PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur kehilangan seorang anaknya, Ahmad Harith Adam, 12, manakala Koperal F. Zaska Yusoh bertugas di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur pula kematian dua anaknya, Azkar Abiedi, 11, dan Azkar Dariemi F. Zaska, 8, dalam kebakaran tersebut.

Justeru, bagi berkongsi kesedihan dua anggota polis itu, Moha­mad Fuzi meluangkan masa berkunjung ke rumah mereka semalam.

Satu tahlil ringkas turut diadakan di rumah kedua-dua keluarga mangsa yang dipimpin oleh Pegawai Turus Kebajikan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Superintenden Napri Sahlan.

Selain itu, Mohamad Fuzi turut menyampaikan sumba­ngan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman kepada kedua-dua keluarga mangsa tragedi kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

Ini sekali gus memperlihatkan keprihatinan pucuk pimpinan PDRM yang mengambil berat terhadap semua pegawai dan anggotanya.

Dalam pada itu, seluruh warga PDRM turut berdukacita dan terkesan di atas insiden yang me­ragut puluhan nyawa tersebut.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di laman sosial Facebook rasmi milik PDRM terus dibanjiri dengan pujian atas keprihatinan Ketua Polis Negara dalam menjaga kebajikan anggotanya.

Mereka yang kebanyakannya berterima kasih di atas bantuan dan perhatian yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan PDRM itu.

“Lawatan dan keprihatinan Tan Sri Mohamad Fuzi ke atas kejadian berkenaan amat disanjungi,” kata salah seorang netizen yang menggunakan nama Si Nee ketika memberi komen selepas gambar lawatan Mohamad Fuzi dimuat naik di laman Facebook rasmi PDRM.