Program anjuran Tourism Johor itu berlepas dari Putrajaya pukul 9 pagi tadi dan konvoi akan bergerak sejauh 1,000 kilometer dalam tempoh perjalanan tersebut melibatkan Putrajaya sebelum ke Johor Bahru dan melawat beberapa tempat menarik di daerah ini.

Konvoi berkenaan bermalam di sini malam ini sebelum menyambung semula perjalanan dari Istana Pasir Pelangi pukul 8 pagi esok dan Sultan Johor berkenan untuk majlis pelepasannya.

Kembara itu yang melibatkan wanita berlatarbelakangkan pelbagai profesion akan ke Desa Keroma Eco Resort di Muar Ahad ini sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, objektif program berkenaan adalah bertujuan mempromosikan produk pelancongan di Johor.

"Para peserta akan melalui pengalaman menarik dengan kepelbagaian dan keunikan produk pelancongan terkini selain mempublisitikan, mempakejkan produk tersebut untuk di promosikan ke seluruh Malaysia.

"Ini sebagai pengenalan pengembaraan pelancongan domestik kepada para pelancong," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE