Almas Beauty & Health Sdn.Bhd. (Almas) mengambil peluang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan golongan asnaf dari Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung, Selangor, baru-baru ini dalam usaha mengukuhkan hubungan antara guru, ibu bapa dan pelajar.

Pengasas Almas, Datin Maziah Mohamed berkata, program kali kedua di sekolah tersebut memberi ruang dan peluang kepada anak yatim dan asnaf berbuka puasa bersama guru dan kakitangan Almas.

Katanya, penganjuran majlis seperti itu merupakan inisiatifnya bersama keluarga dan kakitangan Almas dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Kami sekeluarga berharap aktiviti ini dapat diteruskan setiap tahun sempena Ramadan,” katanya.

Katanya, majlis ini juga sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah yang berjaya mendidik empat daripada lima anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika menuntut di sini dahulu.

“Dalam masa sama, saya berharap majlis ini mampu membakar semangat pelajar lain untuk terus berusaha dan bersemangat untuk mencapai impian dalam apa jua bidang melalui perkongsian cerita kejayaan saya,” katanya ketika berucap sempena majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelajar asnaf di sekolah berkenaan.

Majlis tersebut yang diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 itu turut dihadiri Pengarah Urusan Almas, Datuk Hassanal Bolkiah Abd. Wahab serta anak-anaknya dan Guru Besar, Mohd. Hasren Damiri.

Pada majlis itu, Maziah turut menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada hampir 200 pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf sebelum menunaikan solat terawih.