Pengerusi Kids, Hamidah Tajudin berkata, selain merapatkan hubungan sesama ahli keluarga pesakit kanser, program tahunan itu menjadi wadah bagi merangsang semula semangat anak-anak terlibat kembali ke sekolah setelah bercuti panjang.

Katanya, saluran interaktif dan santai melalui program Kembali ke Sekolah itu membolehkan Kids membina dan menanam keyakinan bagi pesakit dan keluarga mereka bahawa kehidupan mereka bukan terbatas di wad sahaja.

“Sejumlah RM40,000 diperuntukkan bagi program ini termasuk penyerahan beg sekolah bagi pesakit dan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kids yang terdiri daripada anak-anak berusia 4 hingga 17 tahun.

“Selain kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis komplikasi kanser, ibu bapa mereka turut dirai di mana 620 orang ahli keluarga ke semua pesakit turut meriahkan acara. Jadi saluran ini menjadi penghubung bagi kami dan meyakinkan mereka melalui rawatan kimoterapi, anak-anak istimewa ini berpeluang untuk kembali semula ke sekolah,” katanya ketika merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Kids 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Kids, Prof. Shukri Mohamed.

Menurut Hamidah, berdasarkan kes dilaporkan, hampir 200 kanak-kanak dikesan menghidap pelbagai jenis kanser setiap tahun seperti leukemia, kanser sel dan ovari, kanser limfoma serta lain-lain. - UTUSAN ONLINE