Perkhidmatan tersebut cukup dirasai dan diakui oleh salah seorang jemaah haji, Che Anisah Mat Yaacob, 53, yang telah kehilangan suami tercinta, arwah Mohd. Yusof Muhammad, 66, yang meninggal dunia di Mekah pada 26 Ogos lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Menurut Che Anisah, arwah suaminya telah dimasukkan ke hospital sejurus tiba di Madinah pada 30 Julai lalu.

“Sepanjang berada di sana, saya begitu terharu dengan keprihatinan pihak Ta­bung Haji yang ba­nyak membantu urusan sua­mi saya di sana.

“Malah saya sebagai isteri juga turut di­bantu dalam setiap urusan termasuk menyediakan kenderaan dan mengiringi saya melawat suami di hospital,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Tabung Haji ke rumahnya di sini hari ini.

Kunjungan yang diadakan di kediaman arwah di Kampung Chekok, Da­lam Kerawat, Pulai Condong itu telah dihadiri oleh Pengarah Tabung Haji negeri, Wahyudin Tamami.

Pada majlis itu, Wah­yudin turut me­nyam­paikan sumba­ngan khai­rat kematian, air zam zam dan kurma serta mengadakan maj­lis tahlil bersama-sama wa­ris arwah.

Che Anisah berkata, meskipun suaminya sedang menerima rawatan namun perkara tersebut tidak menjejaskan urusan ibadahnya sepanjang berada di sana.

“Ketika di sana, saya dapat melengkapkan ibadah haji saya de­ngan sempurna kerana segala keperluan arwah dijaga oleh petugas haji.

“Walaupun dalam keadaan terlantar, arwah juga sempat mengerjakan umrah dengan bantuan petugas haji. Mereka telah memberikan yang terbaik untuk jemaah haji di sini, saya amat berterima kasih,” katanya yang berada disamping suaminya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Tambahnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat serta mendapat keampunan Allah SWT.