Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting dalam memastikan usaha membaiki kemudahan infrastruktur kampung dan pemberian bantuan dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

“Mana-mana kawasan luar bandar yang terlibat dengan banjir kita minta ketua kampung menghantar maklumat kepada pejabat daerah.

“Kita akan lihat (melakukan pembaikan) mengikut keutamaan seperti jalan raya yang penting untuk kegunaan masyarakat yang akan kita segerakan,” katanya selepas meninjau kawasan banjir dan pusat pemindahan sementara di sekitar daerah ini di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menghadiri kenduri kahwin di beberapa buah rumah di sekitar Felda Sebertak di sini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan memberi perhatian serius kepada usaha membantu mangsa banjir yang terjejas.

Katanya, selain bantuan semasa banjir, kerajaan juga akan memberikan perhatian kepada bantuan segera pasca banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata, Felcra Berhad (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) akan turut menyalurkan bantuan kepada peserta Felcra dan RISDA yang terjejas akibat banjir.

“Peserta di bawah RISDA kalau ada kerosakan dan sebagainya akan diberi bantuan untuk kerugian manakala Felcra ada insu­rans dan peserta terlibat boleh tuntut,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, bagi memudahkan adu­an semasa pasca banjir beliau berharap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Bera tidak terus ditutup meskipun semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurutnya, jawatankuasa PKOB di daerah itu perlu terus beroperasi bagi membolehkan aduan kerosakan dapat disalurkan dengan segera dan lebih sistematik.