Pengerusinya, Datuk Din Adam berkata, sumbangan daripada hasil perniagaan 11 anak syarikat yang bergiat dalam pelbagai sektor itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk dinikmati oleh masyarakat.

“Dividen ini sebagai tabung pusingan untuk memperuaskan lagi bantuan kepada masyarakat walaupun Ketengah sudah mempunyai bajet tertentu (untuk tujuan sedemikian),” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Ketengah berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program KETENGAH Holding Cergas & Ceria Bersama Komuniti 2018 di Padang Astaka, Bandar Ketengah Jaya, dekat sini, hari ini.

Dalam progam itu yang turut dihadiri Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail, beliau turut menyerahkan sebuah lori sampah kepada Ketengah untuk kegunaan sekitar bandar Ketengah Jaya.

Sementara itu, Din berpuas hati dengan program riadah dan kecergasan yang dianjurkan oleh KETENGAH Holding kali ini yang berjaya mengumpulkan hampir 800 komuniti setempat terutama kalangan muda.

“Saya dapat lihat dari tindak balas yang ditunjukkan sepanjang hari ini, bagaimana mereka berinteraksi mengikuti aktiviti dengan ceria dan memberikan kerjasama yang cukup baik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE