Berbeza di Malaysia, apabila isu Palestin hanya mendapat perhatian daripada masyarakat Islam.

Justeru, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) mahu memecahkan tembok penghadang ini dan berharap masyarakat Cina dan India di negara ini turut menunjukkan komitmen menghulurkan tangan memberikan bantuan.

MyCare adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk isu-isu kemanusiaan telah ditubuhkan pada bulan Februari 2010.

Terdapat enam agensi di bawahnya, iaitu Aqsa Syarif, i4Syria, Rose2Rose, NICE, PACE dan Salam Iraq.

Menurut Pengurus Dana MyCare, Muhammad Aiman Mohd. Zain, 29, setiap agensi tersebut bebas bergerak secara persendirian, namun masih dipayungi MyCare, agar semua potensi, sumber dan kemahiran dapat dikongsi bersama bagi kepentingan bantuan kemanusiaan.

Katanya, dipengerusikan oleh Prof. Dr. Hafidzi Mohd Noor, MyCare menumpukan kepada tiga aktiviti teras iaitu memberikan kesedaran dan kefahaman yang tepat mengenai isu kemanusiaan.

Kedua, organisasi ini juga menjalankan penjanaan dana bagi penerusan manfaat di 20 buah negara termasuk Filipina, Kemboja, Selatan Thailand dan Vietnam, negara-negara yang berperang di Asia Barat seperti Palestin, Syria, Lebanon dan Iraq, pelarian Rohingya dan negara yang ditimpa mala petaka tidak mengira bangsa dan agama.

MyCare juga aktif di Malaysia dengan memberikan tempat perlindungan sementara, membina rumah dan memberikan keperluan air bersih di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Ketiga, MyCare turut bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan daripada pelbagai sektor korporat bagi mengumpul dana.

“Terdapat lima projek yang dijalankan oleh MyCare, iaitu makanan, pendidikan, perlindungan, kesihatan dan bantuan bukan makanan.

“Untuk tahun 2017 ini, keperluan utama masih lagi makanan kerana di negara-negara yang berperang seperti Syria, Palestin dan Iraq, mereka sangat memerlukan makanan.

“Tahun lalu, MyCare diberi kepercayaan mengendalikan satu projek bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membawa seramai 68 orang pelarian Syria ke Malaysia.

“Misi Women Boat To Gaza yang diketuai Dr. Fauziah Mohd. Hasan juga mendapat liputan meluas daripada media seluruh dunia. Misi ini berjaya dan disebut-sebut oleh kerajaan Israel.

“Atas kerja-kerja kemanusiaan juga Prof. Dr Hafidzi menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2015, manakala Dr. Fauziah juga telah terpilih sebagai Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa 2014.

“Sementara itu, di Malaysia sendiri, MyCare telah membuat lebih 500 program kesedaran di seluruh negara dan latihan di luar negara. Kempen kesedaran ini turut dilakukan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir, Jepun, Korea dan Indonesia.

“Malaysia adalah antara 10 buah negara yang paling banyak menyalurkan sumbangan dana pada Palestin. Malaysia dianggap pemurah, walaupun kecil tetapi sumbangan yang diberikan adalah berterusan. Sekarang Malaysia merupakan negara ketiga penyumbang paling besar ke Palestin.

“Kami berterima kasih atas sumbangan daripada pihak korporat seperti Bank Muamalat, Malaysia Building Sociaty Bank (MBSB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Econsave, Mydin, orang awam, masjid dan banyak lagi.

“Tahun ini, MyCare menyasarkan kutipan sebanyak RM24 juta bagi disalurkan ke 20 buah negara atau lebih,” kata Muhammad Aiman yang merupakan bekas jurutera.

Dia berkata, bukan sekadar kerja-kerja kemanusiaan, pertubuhan itu juga terbabit dalam menerbitkan buku bagi memberi kesedaran mengenai isu ummah kepada rakyat Malaysia.

Salah satu daripada lima buah buku yang dihasilkan telah ditulis dalam bahasa Mandarin oleh seorang staf berbangsa Cina mengenai Palestin.

Buku ini adalah edisi khas Tahun Baru Cina dan dijadikan hadiah kepada masyarakat Cina semasa berkunjung ke rumah saudara-mara dan jiran. Jualan daripada buku ini dimasukkan ke dalam dana MyCare.

Jelasnya lagi, sesiapa pun boleh menjadi ahli MyCare tidak mengira bangsa, agama dan umur. Inilah yang menjadi keistimewaan MyCare yang memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menjadi ahli.

MyCare kini mempunyai seramai 100 orang aktivis dan 400 orang sukarelawan dari seluruh Malaysia.

Ahli baharu perlu menjalani latihan Training of Volunteer (TOR), iaitu pengenalan isu serantau, peperangan yang menyebabkan pelarian datang ke Malaysia, peranan untuk membantu dan latihan berbentuk ilmiah dan di lapangan seperti membantu mangsa banjir.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel [email protected] atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah