Anak ketiga daripada empat ber­adik itu mengakui bukan sahaja sukar bangun dan bergerak malah malu untuk keluar rumah.

“Hanya Allah saja yang tahu betapa malunya saya ketika berada di tempat awam.

“Kadangkala semangat saya jadi lemah menyebabkan rasa tak nak keluar rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Jaya di Chendering dekat sini hari ini.

Eizan Nadia menceritakan, sebelum menghidap morbid obesity, badannya memang ‘berisi’ namun beratnya semakin bertambah mencecah 250 kilogram sebelum dikesan menghidapi cellulitis iaitu jangkitan kuman di dalam lapisan kulit pada 2014.

Sejak itu, dia kerap menjalani pembedahan di Hospi­tal Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan; Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Gadis itu turut menjalani pembedahan membuang 10 kilogram lemak dari paras peha kanan sehingga ke kaki setelah keadaannya membengkak selain mengalami kesakitan cellulitis yang dihidapi.

“Akibat pembedahan membu­ang lemak itu, berat badan saya te­lah menurun 10 kilogram daripada 250 kepada 190 kilogram.

“Kata doktor, saya perlu lebih banyak pembedahan dalam tempoh tiga tahun ini untuk pulih semula. Dalam tempoh itu, keadaan akan normal dengan berat 85 kilogram,” kata bekas pelajar jurusan masakan di Institut Kemahiran Industri Pahang (IKIP) itu.