Majlis melibatkan lapan daerah di Terengganu itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di bawah program 'Keluarga Bahagia TTB: Perkahwinan Perdana Tahun 2016.'

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan dan Inovasi yayasan berkenaan, Mohd Fauzi Abdul Ghani berkata, menerusi peruntukan tersebut, setiap pasangan diperuntuk lebih RM9,000 termasuk kelengkapan majlis pernikahan dan resepsi.

"Peruntukan itu juga bagi membiayai program selepas pernikahan dengan mengadakan program berbulan madu dan pemantapan keluarga yang akan dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh empat tahun," katanya kepada media selepas majlis akad nikah 23 pasangan daerah Besut yang diadakan di Masjid Hadhari Jerteh di sini hari ini.

Mohd Fauzi berkata, program sedemikian akan diteruskan pada masa depan kerana dapat membantu pasangan muda yang kurang berkemampuan namun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.

Sementara itu, di Besut, sebanyak 23 pasangan termasuk dua adik beradik (pengantin perempuan), dinikahkan secara serentak, manakala di Kuala Terengganu melibatkan 33 pasangan; Kuala Nerus (37): Hulu Terengganu (21); Marang (29); Setiu (22); Kemaman (27) dan Dungun (25). - BERNAMA