Ibunya, Normah Yusof, 51, berkata, dia menyangka tidak lagi akan menemui anak tunggal perempuannya itu selepas Nurul Farhana menghilangkan diri.

Sehubungan itu jelasnya, mereka sekeluarga merancang mengadakan kenduri doa selamat di kediaman mereka di Kampung Parit 7, Pasir Panjang di sini Selasa ini.

“Saya ingat sudah tidak dapat jumpa lagi Farhana sampai bila-bila. Alhamdulillah, akhir­nya anak yang saya kandung selama sembilan bulan ini dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“Kita akan adakan majlis doa selamat dan saudara-mara terdekat akan hadir untuk sama-sama meraikan dan mendoakan Farhana yang sudah pulang ke pangkuan keluarga,” katanya di sini hari ini.

Nurul Farhana bersama seorang anaknya, Askara Alfateh Ali berusia 15 bulan tiba di KLIA2 dari Medan, semalam.

Kepulangannya disambut oleh ahli keluarga termasuk Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi yang berjaya menjejakinya selain menguruskan proses dokumentasi untuk membawanya pulang.

Normah dalam pada itu menyatakan rasa sayu setiap kali memandang wajah Askara.

“Memang saya ada lima orang cucu, tetapi yang lain sudah biasa dengan saya. Bila tengok dia (Askara) saya jadi hiba dan sedih mengenangkan nasib yang dilalui anak kecil ini,” katanya.