Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Datuk Jelani Hamdan berkata, kemuncak penganjurannya di Rumah Panjang Puruvan, Matunggong esok berjaya menarik penyertaan golongan belia Rungus dalam pelbagai pertandingan yang mempersembahkan ciri-ciri tradisional kaum itu kepada masyarakat.

"Tujuan penganjuran ini adalah untuk memastikan kaum Rungus dimartabatkan, kita mahu golongan belia tahu bercakap bahasa Rungus dan masyarakat pula mengetahui kecantikan pakaian tradisional Rungus bukan menganggapnya sebagai baju mandi.

"Sejak dianjurkan pada 2009, Pesta Magahau telah mendapat pengiktirafan oleh kerajaan negeri pada 2015 dan dimasukkan ke dalam kalender Kerajaan Persekutuan sejak 2016," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelani berkata, antara acara yang paling mendapat tumpuan esok ialah final Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM) iaitu pencarian ratu cantik Rungus yang setaraf dengan Unduk Ngadau.

Beliau berkata, sebanyak 21 jelitawan Rungus berusia 18 hingga 25 tahun dari seluruh negeri akan berentap esok sebelum dinobatkan mahkota Ratu MGM yang menawarkan hadiah lumayan.

"Ratu MGM akan memenangi wang tunai mencecah RM50,000, tiket penerbangan pergi balik ke United Kingdom (UK) dan menjadi duta kerajaan negeri dalam mempromosikan Sabah ke peringkat antarabangsa.

"Setiap peserta bukan sahaja diadili daripada rupa paras tetapi merangkumi pelbagai aspek tradisional yang menjadi amalan kaum Rungus seperti bahasa dan penggunaan peralatan antaranya pakaian etnik serta aksesori dikenali sebagai lungkaki (gelang kaki) dan gelang leher (ganggalung)," katanya.

Tambah beliau, antara acara menarik esok adalah pertandingan kugiran yang menggunakan alat-alat muzik tradisional Rungus atau dikenali sebagai sundatang.