Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Restoran QSR Brands (M) Holdings Berhad, Merrill Pereyra berkata, tahun ini pihaknya berharap dapat mengumpul lebih RM4 juta supaya dapat membantu lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik daripada kebuluran.

Beliau berkata, kempen tahun lalu Add Hope berjaya mengumpul sebanyak RM4 juta berbanding RM3.6 juta pada kempen 2015.

“Objektif Add Hope adalah untuk mengumpul dana bagi menyediakan bekalan makanan di kawasan yang mana masyarakatnya dilanda masalah kelaparan sama ada di peringkat tempatan atau luar negara. Oleh itu, kami mahu me­ngajak masyarakat untuk turut serta memberi sumbangan sekali gus meringankan beban mereka.

“Orang ramai boleh menghulur sumbangan menerusi tabung yang diletakkan di cawangan KFC seluruh negara atau melalui penjualan Add Hope Meals. Selain itu, orang ramai juga boleh menderma dalam talian di www.kfc. com.my,” katanya dalam majlis pelancaran kempen Add Hope 2017 KFC di The Curve, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Tambah Pereyra, selain memberi bantuan di peringkat nasional, pihaknya turut menyalurkan sebanyak 20 peratus dana untuk di­serahkan kepada tabung global.

Jelasnya, banyak rumah kebajikan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta individu dan keluarga telah menerima manfaat daripada kempen tersebut.

“Sebanyak RM10,000 telah diberikan kepada 22 buah rumah kebajikan secara berperingkat hasil sumbangan pada tahun lalu. Antara yang menerima bantuan adalah Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Rumah Anak Yatim Shifa dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom.

“Sebagai sebuah syarikat perkhid­matan makanan, KFC mahu memainkan peranan lebih besar bagi meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. Dengan pelbagai inisiatif yang telah dirancang untuk tahun 2017, kami berharap dapat menggerakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang prihatin supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan,” ujarnya.