Faktor geografi dan sosioekonomi turut menjadi pemangkin terhadap permasalahan tersebut sehingga menyukarkan pelbagai pihak gagal menangani isu tersebut.

Sehubungan itu, ikuti laporan khas bahagian akhir wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dalam merungkai pelbagai punca lain yang turut menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah buruh dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negeri tersebut.

 

KUALA LUMPUR 20 Jun -  Kesempitan hidup di bawah garis kemiskinan dan masalah status kene­garaan merupakan penyumbang utama terhadap peningkatan bilangan kanak-kanak bekerja pada usia muda khususnya di Sabah.

Ketua Projek Sosial dan Hak Asasi Manusia, The Forest Trust (TFT), Dr. Andika Ab. Wahab berkata, malah di sektor perladangan, peladang kecil atau peneroka, mengambil kesempatan apabila ibu bapa yang diupah bekerja secara tidak langsung akan melibatkan anak-anak masing-masing bagi membantu mereka pada awal usia.

Menurutnya, salah satu punca adalah kerana ibu bapa berkenaan tiada pilihan selain membawa kanak-kanak terbabit ke ladang memandangkan tiada orang yang boleh menjaga mereka di rumah.

“Pendedahan seperti itu menyebabkan mereka bermula dengan membantu ibu bapa dan akhirnya bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan kepada keluarga,” katanya.

Andika berkata, tidak dinafikan terdapat juga situasi di mana kanak-kanak yang bekerja tidak mempunyai surat daftar kelahiran kerana merupakan anak kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini.

Menurutnya, ada juga di antara mereka merupakan mangsa pelbagai bentuk eksploitasi namun tidak mendapat perlindungan sewajarnya hingga terpaksa bekerja untuk mendapatkan sumber kewangan dan perlindungan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua kanak-kanak yang beke­rja di sektor perladangan dianggap sebagai buruh kanak-kanak kerana undang-undang sedia ada tidak menyekat mereka daripada bekerja.

Tambahnya, ia dibenarkan berdasarkan dengan ruang serta skop kerja dilakukan kanak-kanak tersebut sama ada dibenarkan atau tidak mengikut undang-undang.

“Jika kanak-kanak tersebut melakukan pekerjaan yang berat dan berbahaya seperti memahat atau menyabit buah kelapa sawit dan melakukan semburan kimia kanak-kanak ini boleh dikategorikan buruh kanak-kanak.

“Namun di bawah akta, kanak-kanak yang bekerja juga perlu mematuhi jadual ditetapkan se­perti waktu jam bekerja, waktu rehat dan sebagainya. Selain itu majikan juga perlu mematuhi peruntukan termasuk memberikan mereka pendidikan formal,” katanya.