Namun, kini semua itu sudah berlalu, ahli keluarga itu tidak perlu lagi berjaga malam untuk menadah titisan hujan di celahan bumbung. Kero­sakan di rumah mereka sudah pun dibaiki melalui Program Kembara Jalinan Kasih dipelopori Jabatan Penerangan dengan kerjasama pemimpin setempat.

Menurut Azlina, bumbung rumahnya sudah pun reput dimakan usia, dan de­ngan pendapatannya kira-kira RM1,000 sebulan hasil bekerja di pasar raya di sini, dia tidak mampu untuk membaikinya.

“Suami saya pula tidak bekerja sejak setahun lalu setelah disahkan menghidap penyakit di bahagian kepala. Selain mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dalam darjah lima, pendapatan dua lagi anak kami yang berusia 21 dan 24 tahun yang sudah bekerja hanya cukup-cukup makan saja.

“Kami bersyukur apabila Ja­batan Pe­nerangan sudi membaiki rumah kami. Kosnya saya fikir pasti tinggi kerana mereka tidak hanya membaiki bumbung, malah turut membaiki siling dan pintu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ke­tua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pe­ngurusan) jabatan itu, Datuk Almain Ajirul di rumahnya di Kampung Bubur, Mukim Kedawang dekat sini.

Rumah pasangan itu merupakan salah sebuah daripada empat buah rumah golongan kurang bernasib baik yang dikunjungi di pulau legenda ini, semalam.

Tiga buah rumah lagi yang dikunju­ngi adalah pesara jabatan itu, Che Mansor Hassan, 64, di Kampung Kelibang serta dua individu terlantar akibat kemalangan iaitu Zinol Long, 67, serta Azman Abdullah, 25, yang tinggal berjiran di Kampung Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat.

Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelanco­ngan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Maahad Tahfiz dan Qiraat Ar-Rawi di pekarangan Masjid Riyaduzsolihin, yang terletak tidak jauh dari rumah individu terlantar tersebut.

Ibrahim berkata, melalui program itu, pihak­nya tidak hanya melakukan pembaikan rumah penduduk yang terpilih, malah turut bergotong royong membersihkan kawasan sekeliling.

Beliau turut serta memotong rumput serta melakukan kerja-kerja pembersihan bersama Mohd. Rawi di kawasan rumah pesakit terlantar itu.

Ibrahim menyifatkan program itu sebagai ‘titik sentuhan kemanusiaan’ yang tidak hanya menceriakan individu dibantu, malah turut memberi keinsafan kepada mereka yang menyertai kerja-kerja amal tersebut.

“Kira-kira 100 kakitangan Ja­batan Penerangan termasuk pe­ngarah-pengarah penerangan ne­geri dan Komuniti 1Malaysia terlibat dalam program itu. Kita mahu buktikan bahawa tiada mana-mana pihak yang terpinggir selari dengan dasar inklusif dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.