Zainal Azman Ismail, 57, yang kini menetap di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang menempuhi perjalanan lebih daripada lima jam untuk berjumpa dengan adiknya, Omar Abdul Jalil, 57, di Bukit Sedanan, Asahan di sini kelmarin.

Menurut Zainal, dia memulakan usaha menjejak kembarnya yang terpisah kira-kira 57 tahun lalu selepas mengetahui dia me­rupakan anak angkat yang di­se­rahkan kepada sebuah keluarga ketika masih bayi.

“Saya dimaklumkan keluarga kandung terpaksa menyerahkan kepada keluarga angkat selepas dilahirkan di Hospital Melaka kerana kesempitan hidup.

“Disebabkan perasaan yang semakin membara, selain berdoa kepada Allah, saya kemudian meminta pertolongan keluarga angkat yang pernah menetap di Melaka, selain dibantu oleh kakak angkat, Jamaliah Ismail untuk menjejaki­nya,” katanya di sini semalam.

Zainal berkata, dalam tempoh dua tahun itu dia pernah datang ke Melaka dan mencari keluarganya di sekitar bandar, namun kerana kekangan maklumat yang tidak mencukupi, menyebabkan usaha itu gagal.

“Pada suatu hari kakak saya (Jamaliah) dinasihatkan untuk berjumpa dengan imam masjid kawasan ini dan bermula dari situ, Allah telah mempermudahkan usaha mencari keluarga saya sebelum berjaya dipertemukan pada saat ini,” katanya.

Sementara itu, Omar memberi­tahu, sejak kecil dia telah menge­tahui hal berkenaan dan arwah ibunya juga pernah berhasrat untuk berjumpa dengan Zainal Azman, namun tidak berkesempatan sehingga ibunya meninggal dunia empat tahun lalu.

Menurutnya, dia yang dimaklumkan mengenai seorang individu sedang mencari kembarnya menerusi imam masjid tersebut kemudian terus mendapatkan nombor telefon Jamaliah.

“Persoalan demi persoalan akhirnya terungkai dan membuatkan saya yakin itu merupakan abang kembar yang dirindui selama ini apabila maklumat nama ibu, ayah dan tempat lahir adalah sama.

“Alhamdulillah sejak berca­kap dengan abang di telefon dua ming­gu lalu menyebabkan pera­saan ingin bertemu semakin mem­bara sebelum dia memberi­tahu untuk datang ke Melaka dan saya berbesar hati menerima kedatangan mereka dari jauh,” katanya.

Tambahnya, pertemuan itu bu­kan sahaja disambut ahli keluarga, malah turut diraikan de­ngan kenduri doa selamat dan arwah sebagai tanda kesyukuran.