Kini, Muhamad Zaini Fikri, Muhamad Zarif Fikri dan Muhamad Zazali Fikri Mohd. Yusop bersyukur kerana sikap beringat ibu membolehkan mereka bersama-sama mengerjakan haji pada usia muda 27 tahun.

Menurut Muhamad Zaini Fikri selaku abang, mengerjakan haji dengan wang simpanan sendiri sejak kecil membuatkan mereka lebih menghargai setiap saat berada di tanah suci.

“Apabila datang pakai duit sendiri lain rasanya. Jika rasa letih atau malas nak solat di Masjidilharam kami teringat semula datang dengan duit sendiri, jadi lebih menghargai setiap saat berada di sini,” katanya ditemui di Abraj Al Janadriyah di sini.

Turut mengerjakan haji bersama kembar tiga itu yang mempunyai enam beradik ialah abang sulung mereka, Faizul Fikri, 34, dan isterinya, Siti Naqsya Mohamad.

Bertugas sebagai doktor di sebuah hospital di Klang, Selangor, bekas pelajar Universiti Mansourah, Mesir itu bersyukur ibunya mendaftarkan nama mereka untuk haji sejak kecil memandangkan isterinya yang baru sahaja mendaftar hanya mendapat giliran pada tahun 2100.

Manakala Muhamad Zarif Fikri yang kini menuntut dalam bidang pendidikan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor pula berkata, wang simpanan sejak kecil itu memang mencukupi untuk mereka mengerjakan haji.

“Masa kecil dulu tak tau apa-apa lagi. Kami hanya dapat belanjakan duit syiling, yang lain semua ibu ambil masuk dalam akaun Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Zazali Fikri pula berkata, mereka sepatutnya mengerjakan haji pada 2015 bersama ibu dan bapa, namun menolak kerana masih belajar.

Dia yang juga doktor di Hospital Batu Pahat ketika itu bersama Muhamad Zaini Fikri masih dalam tahun akhir di Universiti Mansourah.

“Kami beri tempoh sekurang-kurangnya selepas tiga tahun bekerja barulah boleh pergi haji, jadi tahun ini kami pergi bersama-sama,” katanya.

Kembar tiga itu yang ditempatkan sebilik dengan abang mereka sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan jemaah lain kerana rupa yang seiras dan sosok tubuh yang hampir serupa.

Selain Muhamad Zaini Fikri dan Muhamad Zazali Fikri, ibu mereka turut terlibat dalam bidang perubatan iaitu sebagai ahli patologi di Hospital Ampang sementara abang sulung seorang veterinar manakala kakak dan kakak ipar adalah jururawat.