Demikian luahan Chia Jui Leng, 46, mengenai abang sepupunya, Chia Kee Chan, 50, seorang nelayan yang bakal dibebaskan dalam masa terdekat selepas ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu.

Jui Leng berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Kee Chan secara peribadi adalah pada April 2016 ketika beliau terbang sendiri ke Penjara Labuhan Deli, Medan, Indonesia untuk menemui abang sepupunya itu.

“Beliau yang sedang menjalani hukuman penjara memberitahu saya, ada beberapa botnya hilang ketika pihak berkuasa Indonesia menahannya pada Mac 2015 dan mahu ia diserahkan semula kepadanya,” katanya.

Jui Leng, yang juga seorang nelayan berpangkalan di Sekinchan selama hampir 40 tahun berkata, pembebasan abang sepupunya itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarganya yang bergantung kepada hasil pendapatan Kee Chan sebagai nelayan.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebab memperjuangkan pembebasan abang sepupu saya,” katanya.

Kee Chan adalah antara enam nelayan warganegara Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dan dijangka dibebaskan dalam tempoh terdekat. - BERNAMA