Semasa kecil, anak sulung daripada lima beradik itu sering merasa malu dan rendah diri terhadap kekurangan fizikalnya berbanding kawan-kawan lain. Melihat mereka boleh berjalan dan berlari riang, pernah terdetik perasaan cemburu dan iri hati.

Namun setelah menginjak ke bangku sekolah menengah dan belajar di Maahad Ar-Rahmah, Kenali di Kubang Kerian, Kelantan hatinya mulai tenang dan reda bahawa semua ini ketentuan Allah SWT untuk menguji keimanannya sebagai seorang hamba.

“Saya sangat bersyukur dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang cukup pengasih, prihatin dan menyayangi saya sepenuhnya. Sejak kecil hingga dewasa umi dan abi tidak jemu-jemu menjaga makan minum, memenuhi keperluan, memantau kesihatan dan prihatin terhadap pendidikan saya,” ceritanya semasa ditemui Mega Mimbar di rumahnya di Demit, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Menurut ibunya, Zalina Mohd. Kassim, walaupun memiliki anak istimewa dan menanggung pelbagai dugaan, cabaran membesar serta menguruskan semua urusan persekolahan Ahmad Faiz dan empat anaknya yang lain, namun dia tetap bersyukur.

Segala kesukaran dan cabaran dapat dihadapi dengan tabah dan hati yang terbuka. Biarpun pernah melanjutkan pelajaran di Mesir namun ibu berjiwa besar ini lebih suka memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan menguruskan keluarga.

“Beliau merupakan anugerah indah daripada Allah. Kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi kerana mengurniakan kecemerlangan kepada putera sulung kami walaupun cacat. Saya tumpang aura kekuatan Ahmad Faiz,” ujar ibunya.

Guru-guru banyak membantu dalam proses pembelajaran malah tidak jemu-jemu memberi perangsang dan dorongan. Di sebalik kekurangan diri, Ahmad Faiz bertekad untuk berjaya dalam pelajaran demi mengharumkan nama keluarga dan sekolah. Malah, guru-guru sering memberi perhatian kepadanya untuk bertanya apa yang tidak difahami. Keadaan ini menjadikan Ahmad Faiz lebih bersemangat untuk belajar dan menggembirakan hati murabbinya. Terbukti setiap kali diumumkan keputusan peperiksaan, namanya sentiasa teratas.

MENERIMA hadiah daripada Ahli Dewan Undangan Demit, Mumtaz Md.

MENERIMA hadiah daripada Ahli Dewan Undangan Demit, Mumtaz Md. Nawi (kanan) yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolahnya.

Menurut Ahmad Faiz, dia tidak pernah ponteng sekolah malah setiap hari sentiasa bersemangat untuk belajar dan bertemu kawan-kawan. Dia turut bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang menyayangi dan sentiasa ringan tulang membantunya dalam apa jua urusan. Malah mereka dengan rela hati menyorong kerusi roda untuk ke kelas, tapak perhimpunan, kantin dan sebagainya.

Menurutnya, segala jasa dan budi kawan-kawannya sungguh besar serta tak mampu dibalas. Dia sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan mereka.

MEMBAIKI KOMPUTER DAN TELEFON

Sejak kecil Ahmad Faiz suka memerhati ayahnya, Ibrahim Yunus yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti, Pasir Mas, Kelantan membaiki komputer. Penelitian penuh minat membuahkan hasil apabila mampu membaiki kerosakan komputer dan juga telefon bimbit. Bahkan Ahmad Faiz juga mahir dalam pelbagai program komputer seperti Audacity (Audio), Illustrator (Graphic) dan Photoshop CS6 (Graphic), dan HD Movie Platinum by Sony Vegas (Video Editor). Kebolehan ini mendorong Ahmad Faiz menjadi ahli jawatankuasa unit grafik membantu guru penasihat redaksi majalah sekolah dalam penyediaan susun atur bahan dan proses mengemas kini majalah.

SUKA MEMBACA DAN MENGHAFAZ

Sejak kecil lagi Ahmad Faiz suka membaca. Minat yang dipupuk dan dibajai ini memudahkan proses belajar di sekolah agama seterusnya mencambah kefahaman mendalam dalam sesuatu subjek. Beliau juga sentiasa memastikan memahami sesuatu tajuk terlebih dahulu sebelum menghafaz kerana akan memudahkan proses hafazan dan memantapkan kefahaman seterusnya dapat membimbing rakan-rakannya yang lain.

Penulis terasa pilu dan hiba melihat sendiri Ahmad Faiz menulis menggunakan tangan yang disokong oleh dagunya. Allahuakbar!

Benarlah kekurangan fizikal tidak mematahkan sayapnya untuk melebarkan usaha. Berita tentang kejayaan Ahmad Faiz telah menyingkap kekaguman semua pihak. Betapa Allah mengurniakan kepandaian dan kejayaan buat hamba-Nya yang berusaha.

Man jadda wajada adalah ungkapan yang setepatnya ditujukan kepada Ahmad Faiz malah maksud namanya dalam bahasa Arab ialah ‘Orang Yang Berjaya’ telah membuktikan kenyataan ini.

Rezeki Ahmad Faiz tidak putus-putus. Rahmat Allah sungguh luas. Di samping menerima anugerah pelajar cemerlang setiap kali peperiksaan awam, beliau turut diberi penghormatan sebagai Pelajar OKU Cemerlang Negeri Kelantan pada tahun 2014 dan mendapat biasiswa tabung al-Ghazali yang ditubuhkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Pada minggu lalu juga, Ahmad Faiz dianugerahkan Tokoh Pelajar Cemerlang Akademik sempena Hari Muqarrabun anjuran Urusetia Kebajikan, Wanita dan Keluarga Kerajaaan Negeri Kelantan.

Ahmad Faiz sentiasa membakar semangat jati diri yang unggul dengan menjadikan Dr. Ammar Bugis, iaitu seorang OKU yang merupakan ilmuwan yang terkenal dalam bidang agama dan juga seorang hafiz al-Quran

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi pakar ilmu hadis baharu sahaja mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Madinah, Arab Saudi.