Siti Norsiah yang tidak mampu bergerak dari aras pinggang ke bahagian kaki selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam kepalanya lima tahun lalu menyifatkan, bantuan katil itu sedikit sebanyak memudahkan kehidupan sehariannya.

Sebelum ini, dia hanya terlantar di atas tilam di rumahnya di Kampung Telok Gong, di sini dan sukar untuk mengangkat sebahagian badannya.

"Syukur sangat kerana Kasih beri bantuan katil ini. Dulu saya susah nak bangun sebahagian badan. Sekarang saya boleh angkat badan saya, mudah sikit saya nak makan atau brcakap dengan orang yang datang ke rumah," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Bantuan katil itu disampaikan Yang Dipertua Kasih, Puan Sri Dr. Aishah Salleh yang menziarahi Siti Norsiah bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin.

Sementara itu, Dr. Aishah menyatakan pemberian bantuan itu merupakan sebahagian daripada Program Jelajah Kasih yang dilancarkan sejak bulan lalu yang memberi fokus kepada usaha meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan di Selangor.

Selain bantuan katil kepada Siti Norsiah, pihaknya turut menyalurkan bantuan-bantuan lain melibatkan keperluan asas kepada keluarga pesakit lumpuh itu yang tinggal bersama ibunya, Kamaliah Kamal, 67, di sini. - UTUSAN ONLINE