Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, karnival tersebut merupakan program penutup bagi tahun 2017 dan ia adalah satu penganjuran luar biasa.

“Karnival berlangsung dua hari ini, sudah cukup jelas menggambarkan kemeriahan dan sambutan penduduk di kawasan Kuang dengan jumlah kehadiran melebihi 1,500 orang setakat pagi ini.

“Saya seronok melihat masyarakat menyambut baik segala aktiviti yang kami sediakan untuk hari ini secara percuma termasuk pemeriksaan kesihatan, pemberian cermin mata kepada penduduk berumur 45 tahun ke atas, tata rias kuku dan penukaran minyak enjin motosikal,” katanya ketika ditemui di tapak Karnival 1118 di Padang Awam Kampung Setia, Kuang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, karnival itu turut melibatkan agensi kerajaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil peluang membuka gerai jualan selain memberi informasi serta bantuan kepada pengunjung.

“Banyak gerai jualan dibuka kepada orang ramai, manakala pelajar berpeluang mendapat maklumat tentang peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi daripada agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, pengunjung karnival tersebut, Zaiton Md. Rasul, 55, dan suaminya Ibrahim Omar, 67, masing-masing berbangga dan menyifatkan karnival tersebut sebagai acara yang sangat bagus.

“Semua aktiviti yang disediakan adalah untuk kemudahan kami dan orang ramai, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka untuk menyaksikan pelbagai persembahan pentas yang disediakan penganjur.

“Karnival sebegini sebenarnya dapat mendekatkan masyarakat dengan pemimpin dan peluang untuk usahawan mencari rezeki,” katanya.

Hari kedua (esok) penganjuran Karnival 1118 ini akan lebih meriah dengan Majlis Penyerahan [email protected] iaitu penyerahan motosikal kepada usahawan belia luar bandar yang menjalankan perniagaan berkonsepkan perkhidmatan bergerak.

Tapak Karnival 1118 tersebut juga akan diadakan jamuan makan percuma buat semua pengunjung dan sambutan ambang tahun baru 2018 pada malam 31 Disember, esok.