Rasa sebak dan terharu jelas terpancar pada wajah lelaki berusia 55 tahun itu apabila kunjungan tersebut bukan hanya kunjungan biasa sebaliknya disertai dengan gotong-royong membersihkan kawasan rumah.

Kiew berkata, usaha Karma menjalankan aktiviti pembersihan di rumah itu sangat dihargai mereka sekeluarga tambahan lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Katanya, rumah itu didiami tiga bersaudara orang kurang upaya (OKU) iaitu abang, Fan Yong Seong, 70, dan adik perempuannya, Phang Yoke Lew, 50, serta anak saudara lelaki mereka, Chaw Chan Huat, 42.

“Terima kasih kepada Karma kerana datang dan bantu kami membersihkan kawasan rumah ini. Kebiasaannya saya dan isteri yang lakukan semua itu.

“Raya tahun ini lebih meriah apabila kawasan rumah yang tidak terjaga sebelum ini kembali bersih semula. Ini beri keselesaan kepada abang dan adik perempuan serta anak saudara saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengerusi Karma, Vincent Da­vid berkata, aktiviti gotong-ro­yong di rumah itu merupakan salah satu projek di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, selain kerja-kerja pembersihan, turut diadakan penyerahan sumbangan barangan makanan dan wang tunai seba­nyak RM300.

“Ahli Jawatankuasa (AJK) Karma sebelum ini telah mengadakan tinjauan di kawasan Simpang Jalong bagi mencari mereka yang boleh dibantu dan kita dapati ke­luarga ini yang paling susah de­ngan rumah didiami tiga OKU uzur.

“Oleh itu, kita bantu mereka membersihkan kawasan sekitar rumah terutama bagi persiapan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. Kita mahu pastikan mereka dapat beraya dalam keadaan gembira dan bersih,” katanya.