AZURA MOKHTAR
AZURA MOKHTAR

Dalam nada bercanda, Karl berkata, “apa salahnya jika jodoh kelak dengan salah seorang peserta pertandingan yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan akhir kerana saya pun masih bujang.”

Kata-kata gurauan itu dilontarkan oleh Karl yang turut hadir pada majlis sidang akhbar, Pencarian Ikon Wanita Melayu PWM2018 di sini, petang semalam.

Pada majlis tersebut yang turut dihadiri Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar memberitahu, PWM2018 mahu menyuntik kelainan dengan meletakkan Karl Syafeek sebagai pengacara.

“Pada tahun-tahun lepas, pengacara untuk PWM ialah wanita. Jadi untuk tahun ini, kita mahukan kelainan dengan memberikan tanggungjawab sebagai pengacara kepada Karl,” katanya.

Turut hadir sama pada majlis sidang akhbar ialah Pengurus Besar Ice Watch Malaysia, Rizwan Shah Azlan sebagai penaja utama bersama Habib Jewels.

Lain-lain penaja, Elianto Makeup, ARCO.MY , D’Qapas, Original Classic, NRCosmetics, Shaiful Azley Affaley dan Ani Catering & Wedding Planner.

Menurut Azura, satu lagi kelainan yang diwujudkan pada PWM2018 ialah para peserta bukan sahaja boleh membuat permohonan penyertaan secara dalam talian tetapi juga mereka yang dalam kalangan bertubuh gempal, turut diberikan peluang untuk bertanding tetapi dengan ketinggian 160 sentimeter dan BMI tidak melebihi 70 kilogram.

“Esok adalah sesi uji bakat di Plaza Shah Alam bermula pada pukul 11 pagi. Ini untuk sesi pertama dan pukul 2 petang ialah untuk sesi kedua. Jadi, pada dua sesi ini akan dibuat pemarkahan yang mana para peserta akan dinilai dari aspek personaliti, skil berkomunikasi dan bakat.

“Beberapa soalan juga akan diajurkan oleh para juri bagi melihat keupayaan serta kebolehan para peserta dalam menjawab soalan secara spontan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Azura menambah, PWM2018 turut memperkenalkan sesi mentor-mentee kepada 12 orang finalis yang terpilih kelak.

“Empat orang mentor yang pernah memenangi PWM, Ashira Kaseh, Ayu Harris, Hazwani Zaini dan Nurul Ain akan memberi bimbingan kepada 12 orang finalis yang akan diletakkan dibahagi-bahagikan dalam kalangan empat mentor yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Sementara itu, sebagai penaja dari jenama Ice Watch, Rizwan Shah berkata, pihaknya sekali lagi bersetuju untuk menjadi penaja dalam usaha membantu meningkatkan penguasan wanita sempena dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 8 Mac lalu.

“Kami juga mempunyai ramai pekerja wanita dan mengapa tidak, kita sama-sama membantu mempertingkatkan penguasaan wanita dalam pertandingan seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata, tujuh finalis terpilih bakal menerima hadiah jam tangan jenama Ice Watch. - UTUSAN ONLINE