Ruslida Kamarazaman, 38, tidak ada pilihan kerana dia ha­nya mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM10 sehari untuk menanggung kese­luruhan ahli keluarganya.

Ruslida berkata, dia tinggal bersama anaknya di kandang berdindingkan zink dan lantai kayu terpakai itu sejak setahun lalu selepas diceraikan suaminya.

Katanya, keputusan mendiami kandang kambing itu diambil selepas enggan menyusahkan ibunya yang sudah tua.

“Hasil perkongsian hidup selama 22 tahun, kami dikurniakan tujuh anak berusia antara 2 hingga 21 tahun. Hanya enam orang anak tinggal bersama saya, manakala seorang lagi bersama bekas suami.

“Selepas bercerai kami anak-beranak meneruskan hidup di kandang ini. Tiga daripada anak saya kini bekerja di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Ketika ini hanya saya bersama tiga anak berusia dua, sembilan dan 13 tahun tinggal di bangsal kambing ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Cerita Ruslida lagi, bangsal kambing itu juga tidak mempu­nyai bekalan elektrik dan mereka hanya menggunakan lilin pada waktu malam.

Katanya, dia tidak pernah me­nyalahkan sesiapa kerana sebelum ini dia tidak pernah memohon bantuan rumah daripada pihak berwajib.

“Kemiskinan kami juga menyebabkan seorang anak lelaki saya berumur 13 tahun tidak menyambung persekolahan dan kini membantu saya dengan mengutip susu getah.

“Hanya seorang anak perempuan berusia 9 tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gua Musang,” katanya.

Bagaimanapun, Ruslida ber­syukur apabila tiga orang anak­nya yang bekerja di kedai makan dan kilang tidak lupa mengirimkan sedikit wang belanja walaupun gaji mereka hanya cukup makan sahaja.

Katanya, hanya sebuah kediaman yang selesa diinginkan untuk mereka sekeluarga untuk menjalani kehidupan.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Ruslida di talian 011-36810278.