Nor Rania Maisara Abdul Hamid, 6, merupakan seorang murid Tabika Kemas dari Kampung Dalam Lah, di sini menerima bantuan tersebut daripada Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

Majlis penyampaian replika cek itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sempena Majlis Perasmian Bangunan Tabika Nur Aiman Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff dan Ketua Wanita UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Wan Hazani Wan Mohd. Nor.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan, Anuar Mat Zain berkata, sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban keluarga kanak-kanak itu.

Katanya, kanak-kanak itu telah menjalani pembedahan mata di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 Oktober tahun lalu.

"Selepas menjalani rawatan itu, Nor Rania Maisara disahkan buta. Jadi kita telah membantunya mendapatkan sedikit bantuan kepada murid berkenaan.

"Murid itu juga terpaksa menggunakan kos yang banyak kerana berulang- alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan terhadap matanya," katanya. - UTUSAN ONLINE