Demikian luahan Melan Ismail, 49, yang mewakili lebih 200 penduduk Kampung Felda Bukit Cerakah di sini, apabila ditanya mengenai tindakan kerajaan PKR Selangor yang didakwa mengabaikan pandangan dan sensitiviti masyarakat setempat berhubung kelulusan pembinaan projek mega tanah perkuburan bukan Islam berhampiran kawasan mereka.

Melan yang merupakan antara peneroka awal kampung ber­kenaan pada 1989 memberitahu, majoriti penduduk kesal dengan sikap angkuh kerajaan negeri khususnya Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor serta Maj­lis Daerah Kuala Selangor yang tidak memaklumkan langsung kepada mereka mengenai kewujudan projek berkenaan termasuk mengadakan pendengaran awam.

Sebaliknya, beliau me­negaskan, pembinaan tanah perkuburan yang didakwa melibatkan kawasan seluas 89 hektar itu hanya diketahui penduduk pada 4 Januari lalu apabila melihat beberapa jentera berat memasuki hutan berhampiran, difahamkan untuk kerja-kerja pembersihan bagi membina laluan ke tapak projek tersebut.

“Ekoran itu, saya sendiri telah menahan jentera-jentera berat berkenaan daripada memasuki kawasan terbabit pada Rabu lalu sebelum mereka berundur sejurus selepas itu. Saya bukanlah berniat untuk berbuat demikian (halang jentera) tetapi kami me­nyatakan pandangan kami yang tidak mahu projek seumpama ini diteruskan di kawasan kampung kami yang 99 peratus adalah ber­agama Islam.

“Selain penduduk Kampung Felda Bukit Cerakah, majoriti penduduk lain seperti di Kampung Bukit Kapar dan Kampung Bukit Kerayong masing-masing di Klang dan Bandar Puncak Alam saya difahamkan mereka turut membantah projek tanah perkuburan bukan Islam itu,” katanya.

Beliau turut membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama di sini, kira-kira pukul 10 pagi ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Puncak Alam, Mohd. Razib Mohd. Talib menyatakan, beliau dimaklumkan projek berkenaan dari segi perancangannya meliputi sempadan keempat-empat kampung terbabit yang terletak dalam daerah Klang dan Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, projek itu dibuat melibatkan kawasan 99 pe­ratus penduduk beragama Islam. Malah, tapak tanah projek saya dimaklumkan asalnya merupakan tanah lebihan yang tidak dimajukan oleh Felda untuk tanaman kelapa sawit sebelum dijual kepada syarikat pengendali tapak perkuburan bukan Islam itu.

Beliau menambah, MDKS telah meluluskan permohonan kerja tanah awal kepada syarikat terbabit pada 21 November tahun lalu.

Isu bantahan projek tanah perkuburan mega bukan Islam dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim semalam selepas menerima banyak maklum balas daripada penduduk setempat yang membantah projek itu dilaksanakan di kawasan majoriti penduduk beragama Islam itu.

Malah, Irmohizam turut mempersoalkan pendekatan yang diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam memberikan kelulusan projek tersebut yang difahamkan dibuat tanpa adanya sebarang proses perbincangan serta mendapatkan pandangan penduduk setempat terlebih dahulu.