Meskipun ruang yang sempit dan tidak selesa, namun Sahila tetap meneruskan kehidupan seperti biasa bersama suami, anak dan ibu mentuanya.

Kehidupannya yang susah itu ditempuhinya sejak berkahwin dengan suaminya. Dia sebenarnya mempunyai pilihan untuk hidup lebih selesa sekiranya itu yang dimahukan.

Sahila sebelum ini menjalani kehidupan selesa sebagai penyanyi dalam sebuah kumpulan popular era 1990-an. Selepas berkahwin, dia terpaksa meninggalkan karier seninya dan berpindah mengikut suaminya tinggal dengan ibu mentua di bilik stor di sebuah kantin sekolah.

Dia juga membantu suami dan ibu mentuanya mengusahakan kantin tersebut.

“Walaupun hidup selesa sebelum ini namun, saya memahami kesusahan yang dilalui suami. Apa lagi melihat dia melakukan dua pekerjaan. Di sebelah siang membantu ibunya di kantin, sementara pada sebelah malam, bekerja membawa lori tunda.

“Melihat kesusahan suami, saya pun sarankan supaya dia mencari kerja lain,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, suami Sahila mendapat pekerjaan baharu sebagai jurujual di sebuah syarikat menjual kereta.

“Sejak bekerja sebagai jurujual kereta, dia kerap outstation. Pada ketika itu, saya masih membantu ibunya berniaga di kantin. Mula-mula tiga hari. Namun, lama-kelamaan ambil masa sehingga tiga bulan.

“Saya tidak berkata apa, sebab faham dengan pekerjaannya,” katanya.

Namun, sekembalinya dari outstation, dia mula menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit.

“Ketika kami berada di rumah ibu, saya perasan suami sorok telefon bimbit di bawah bantal. Melihat perubahan sikapnya, saya pun buka telefon bimbitnya dan terkejut tatkala membaca mesej dari seorang perempuan yang mengingatkannya supaya membawanya ke klinik kerana masih berpantang.

“Selepas menghubungi wanita berkenaan, tercetus pergaduhan antara saya dengan suami selepas dapat tahu dia terlanjur dengan wanita itu. Ibu mentua dapat tahu kami bergaduh namun, dia memarahi saya kerana lebih berpihak kepada anaknya. Pergaduhan berlanjutan sehingga saya dihalau seperti anjing kurap.

Beg saya dibaling begitu sahaja. Sejak itu, saya dihalang daripada berjumpa dengan anak perempuan saya.

“Saya minta untuk dilepaskan (bercerai) namun, dia enggan berbuat demikian. Kerana rindukan anak perempuan, saya akhirnya pulang semula ke pangkuan suami dan merayu seperti peminta sedekah. Pada masa itu, saya kembali menjalankan kehidupan seperti biasa, cuma bezanya suami dan ibu mentua sering mengeluarkan kata-kata makian terhadap saya,” katanya.

Sahila kemudian mengambil keputusan melarikan diri bersama anak perempuannya ketika suami keluar menyambut hari lahir ibunya bersama adik-beradik lain di sebuah restoran.

“Dengan hanya berbekalkan sebuah beg pakaian, saya berjalan kaki dari kantin sekolah tersebut menuju ke sebuah stesen LRT (Transit Aliran Ringan). Saya hilangkan diri selama enam bulan dan menukar nombor telefon bagi mengelakkan mereka mengesan kedudukan saya.

“Enam bulan kemudian, saya mengemukakan permohonan cerai di mahkamah. Dia datang bersama wanita yang pernah terlanjur dengannya. Setelah beberapa kali turun naik ke mahkamah, akhirnya dia ceraikan saya dengan talak satu,” ujarnya.