Dua kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing berusia tiga tahun dan setahun enam bulan manakala bayi perempuan pula berusia sebulan.

Penolong Pegawai JKM Daerah Gombak, Zuraida Mat Ail memberitahu, bayi perempuan itu ditemukan orang awam di Warta Lama Selayang.

“Semasa ditemui, bayi ini dianggarkan berumur sebulan dan mengalami kecederaan serius di bahagian badan serta tidak sedarkan diri. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum dapat mengesan ibu atau waris bayi ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, dua kanak-kanak lelaki yang dipercayai adik-beradik pula telah ditemukan orang awam di Bandar Ra­wang, Selangor.

Menurut Zuraida, kanak-kanak berketurunan India dan hanya dikenali sebagai Agilan dan Thamby itu telah dibawa ke Balai Polis Rawang sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

“Menurut pegawai perubatan, kedua-dua kanak-kanak itu didapati sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan atau penderaan. Sehingga kini, pihak polis masih belum dapat mengesan ibu bapa atau waris kedua-dua kanak-kanak ini.

“Kami juga tidak mengetahui punca kanak-kanak ini di­tinggalkan dan mereka hanya boleh bertutur dalam bahasa Tamil selain tidak dapat memberikan sebarang maklumat,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat me­ngenai bayi dan kanak-kanak itu diminta meng­hubungi Pejabat JKM Daerah Gombak di talian 03-61785731 atau 03-61785931.