Penolong Ketua Pengarah Latihan JBPM, Hamdan Wahid berkata, sebanyak RM1.83 juta diperuntukkan untuk membina semula 44 rumah terbakar, daif atau usang manakala RM639,000 bagi tujuan baik pulih 47 buah rumah lagi.

Katanya, di Negeri Sembilan, JBPM telah membina sebanyak 12 buah rumah sejak tahun 2012 termasuk tiga projek pada tahun ini dengan kos sebanyak RM40,000 setiap unit.

"Sebanyak 180 unit rumah telah siap dibina semula manakala 139 rumah dibaik pulih oleh JBPM di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dari tahun 2012 hingga 2017.

"Walaupun dari segi jumlah rumah yang dibina tidaklah terlalu besar, tetapi bagi kami ia cukup bermakna sebagai tanda  keprihatinan agensi kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program NBOS Jabatan Bomba di Lot 327 Mukim Si Rusa di sini hari ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar yang turut menyampaikan kunci rumah baharu kepada seorang mangsa kebakaran, Maimunah Hasim.

Yang turut hadir Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis. - UTUSAN ONLINE