KUALA LUMPUR 11 Feb. – Kejayaan fasa pertama misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar menyerahkan barangan keperluan seberat 500 tan untuk diagih kepada etnik Rohingya dan golongan yang memerlukan bakal menjadi perintis kepada usaha damai di Myanmar.

Pengasas bersama Sekolah Komuniti Pelangi Kasih Rohingya Centre, Jules Rahman Ong berkata, kerjasama Myanmar termasuk memberi kebenaran kepada 30 sukarelawan daripada pelbagai media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai misi itu berada di pelabuhan menunjukkan kesungguhan mereka menjayakan program bantuan berkenaan.
“Syabas kepada Malaysia atas usaha keras dibuat, malah kami mewakili etnik Rohingya di sini amat menyanjung tinggi segala jasa dan bakti yang dihulur.
“Saya percaya keupayaan dimiliki Malaysia khususnya kredibiliti kepemimpinannya dan hubungan dua hala yang terjalin kukuh menjadikan fasa kedua misi yang akan singgah di Bangladesh berjalan lancar serta mencapai objektif,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Bantuan kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar berjaya menyelesaikan fasa pertamanya di Yangon apabila barangan seberat 500 tan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan diserahkan oleh Ketua Misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr. Win Myat Aye di Terminal Pelabuhan Antarabangsa Thilawa, kelmarin.
Dalam pada itu, Jules Rahman berkata, adalah agak pelik apabila Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar mengubah pendiriannya walaupun telah bersetuju misi itu diteruskan ke Teknaf serta bersedia memberikan visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada semua anak kapal Nautical Aliya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Etnik Rohingya Malaysia (PRM), Faridullah Dudumiya berkata, proses agihan barangan keperluan itu perlu dipastikan sampai kepada golongan sasar dan dinikmati bersama etnik Rohingya serta golongan memerlukan.
Katanya, kejayaan fasa pertama misi itu bukan sekadar memperlihatkan kesungguhan Malaysia, malah lebih penting kerajaan Myanmar juga bertanggungjawab bagi memastikan kaedah agihannya adil serta objektif utama misi terlaksana.