Menurut Mohd. Kazim, sehingga kini terdapat hampir 100 akaun laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter yang didakwa miliknya dan mempunyai bilangan pengikut mencecah ribuan orang.


“Saya tidak mempunyai akaun Instagram atau Twitter tetapi hanya akaun Facebook atas nama Dato’ Ustaz Kazim Elias. Saya takut ada salah faham
daripada masyarakat yang menganggap semua akaun laman sosial itu milik saya sedangkan ia tidak benar.


“Saya juga bimbang apabila akaun palsu tersebut memuatnaik isu yang menyentuh keselamatan negara seperti isu perkauman sehingga menjadi tempat pertelingkahan ramai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Menurut beliau, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat di Balai Polis Manjoi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Selasa lalu.


“Tujuan laporan itu dibuat adalah bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. - UTUSAN ONLINE