Menurut seorang pelanggan, Datuk Rakesh Sachdev, 50, pihak retoren tidak wajar menyalahkan pekerjanya sahaja kerana kesalahan tersebut juga perlu diletakkan kepada pengurus dan pemilik restoren itu.

“Saya selalu makan di sini, saya perasan ramai pekerja-pekerja baharu yang ada dan mereka tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Sepatutnya pekerja baharu ini diberi pendedahan awal dan mereka perlu diselia dari segenap aspek sebelum menjalankan tugas. Jadi dalam hal ini yang salahnya adalah pihak restoren,”katanya ketika ditemui berhampiran restoren itu, di sini hari ini.

Semalam, satu video berdurasi 30 saat tular di media sosial melibatkan beberapa pekerja restoren itu mencuci dan mencelup bekas makanan di kawasan lopak air di belakang premis tersebut.

Tinjauan Utusan Online hari ini mendapati restoren diarahkan tutup mengikut perintah penutupan sementara di bawah Undang-undang Kesihatan 28 (1) Undang-undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

Bagaimapun, penutupan premis tersebut akan berlanjutan ke satu tarikh lain yang akan dibenarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE