Menurut Rosyam, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagaimana yang tular di laman sosial sebelum ini.

“Selepas berita mengenai pembukaan pasar raya ini tular di laman sosial, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan gambar saya dengan memuat naik kenyataan di laman sosial yang mengkritik Dr. Mahathir.

“Segelintir netizen yang terpengaruh dengan fitnah ini telah bertindak untuk menggerakkan kempen boikot terhadap pasar raya saya. Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya berharap semua pihak berhati-hati dengan sebarang maklumat di laman sosial agar terhindar daripada melakukan wakaf dosa,” katanya ketika ditemui pemberita dalam progam Ride for World #QuranHour yang berlangsung di perkarangan Masjid Negara, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE