Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pembinaan jambatan tersebut dapat menyelesaikan masalah kesesakan di bandar raya ini. terutama semasa musim perayaan dan cuti persekolahan.

Ini merupakan jambatan ketiga yang menghubungkan kawasan bandar raya dengan Kuala Nerus.

“Saya nampak keseluruhan trafik yang berada di Kuala Terengganu dapat diselesaikan i apabila siapnya sebuah lagi jambatan angkat kelak yang menghubungkan pusat bandar raya ini dengan Seberang Takir.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk menyambungkan jalan sedia ada ini ke Terengganu bypass yang sedang dalam pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyambungan terakhir jambatan (stitching slab) projek itu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir Ab. Hamid Md. Daud.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif hari ini mengumumkan peruntukan segera bernilai RM1.2 juta untuk menyelesaikan masalah hakisan di Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot sementara menunggu bajet RM40 juta dari kerajaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE