Sumbangan tersebut dikumpulkan melalui penyertaan setiap peserta iaitu peserta 10 kilometer menyumbang sebanyak RM60 manakala peserta lima kilometer menyumbang sebanyak RM55 malah Jakel Trading Sdn. Bhd. serta penaja turut memberi sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Jakel.

Replika cek sumbangan bernilai RM700,000 diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md. Shahidul Islam.

Peserta tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM5,000 untuk tempat pertama larian 10 kilo­meter dan RM3,000 untuk larian 5 kilometer manakala 50 pemenang sagu hati menerima seutas jam tangan Ice Watch.

Malah, hadiah cabutan bertuah yang lumayan turut disediakan seperti sebuah motosikal Yamaha Avantiz, pakej percutian tiga hari dua malam ke Bali, kasut sukan Asics, jam tangan Ice Watch dan hamper daripada penaja.

Mohamed Faroz berkata, sam­butan yang menggalakkan membuktikan rakyat Malaysia sentiasa prihatin dalam isu kemanusiaan terutama umat Islam yang ditindas tanpa perikemanusiaan.

“Bukan mudah untuk me­ngumpulkan sebilangan besar rak­yat Malaysia dalam masa singkat tetapi nampaknya sambutan amat memberangsangkan. Ini sudah tentu dapat membantu meringankan beban mangsa pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh.

“Dengan dana ini, kami akan membeli barang keperluan dan ia akan diberikan secara terus kepada setiap individu di kem pelarian di sana. Insya-Allah dalam masa akan datang, kita mengadakan program seumpama ini untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas pula,” katanya.

Larian edisi pertama itu turut diserikan dengan penyertaan beberapa artis tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Ayda Jebat, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen.

Program itu turut mendapat sokongan beberapa rakan media antaranya Kumpulan Utusan, Media Prima Berhad dan Sinar Harian.

Larian itu juga mendapat tajaan syarikat terkemuka negara termasuklah Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., AVON Cosmetics (M) Sdn. Bhd., KPJ Healthcare Berhad, Yakult, 100 Plus, LULU Hypermarket & Department Store serta butik pakaian Schawal Store.