Walaupun tragedi berdarah itu telah 68 tahun berlalu, namun bagi Jamilah, peristiwa itu boleh berulang sekiranya generasi muda alpa dengan pengorbanan pejuang terdahulu.

“Saya kehilangan ibu dan adik dalam tragedi itu ketika berusia empat tahun dan kesedihan itu masih lagi dirasai hingga sekarang.

“Oleh itu, anak-anak (muda) sekarang janganlah huru-harakan negara...jagalah (negara) dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penera­ngan negeri, Datuk Ayub Rahmat di rumahnya di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP) selepas Balai Polis Bukit Kepong di Pagoh, Muar diserang kira-kira 200 pengganas komunis semasa darurat selepas Perang Dunia Kedua.

Dalam tragedi itu, bapa Jamilah, Koperal Abu Bakar Daud cedera parah apabila dadanya ditembusi peluru komunis manakala ibunya, Fatimah Yaaba dan adiknya, Hussin yang berumur dua tahun mati dalam keadaan berpelukan akibat ditembak komunis.

Jamilah berkata, bapanya an­tara yang terselamat walaupun ce­dera parah dalam serangan itu dan kembali bertugas sebagai polis marin di Tampoi sehingga bersara sebelum meninggal akibat kanser hati pada 1979.

Sementara itu, Ayub berkata, pengorbanan pejuang terdahulu wajar diambil iktibar oleh semua rakyat, khususnya generasi muda agar mereka tidak terpengaruh dengan ideologi dan perjuangan yang sesat.

Katanya, kerajaan juga sentiasa memastikan kebajikan waris tragedi itu dijaga sebaiknya secara berterusan dan bukannya secara one off.